
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia tidak memberi apa-apa isyarat kepada kerajaan perpaduan kerana kerusi itu turut dimenangi PAS pada pilihan raya lalu.
“Kawasan Kemaman itu dulu siapa menang…PAS kan? Terbaharu ini siapa menang…PAS, Jadi ia tiada nilai tambah la kan.
“Jadi tiada apa-apa isyarat kerana tiada bertambah apa-apa (tambahan kerusi kepada pembangkang). Jadi kerana itu ia tidak beri sebarang isyarat apa-apa,” katanya pada sidang media sempena sambutan setahun dan perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri.
Saifuddin berkata, isyarat penolakan rakyat kepada kerajaan perpaduan boleh diukur jika kerusi itu pada PRU lalu dimenangi Barisan Nasional (BN) dan melalui PRK, rakyat memberi kemenangan kepada PAS.
“Lainkan kalau kerusi itu sebelum ini dimenangi BN kemudian PAS PN menang PRK. Ini cuma bertukar wakil rakyat dan sekarang (semalam) penduduk di situ menangkan semula PN. Jadi, tiada isu apa-apa. Saya ucapkan tahniah atas kemenangan itu,” katanya.
PAS mengekalkan Parlimen Kemaman apabila calonnya Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan 64,998 undi mengalahkan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.