Polis tahan lelaki ‘mahu’ hubungan diplomatik dengan Israel

Polis tahan lelaki ‘mahu’ hubungan diplomatik dengan Israel

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Shuhaily Zain berkata lelaki itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki didakwa menyatakan sokongan terhadap hubungan diplomatik dengan Israel menerusi sebuah video tular,.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan reman lelaki itu selama tiga hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Satu video tular di media sosial berhubung seorang individu “mengaku rakyat Malaysia” yang mahu hubungan diplomatik dijalinkan antara negara ini dan Israel yang dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata semakan mendapati video berkenaan sebenarnya diterbitkan pada Disember 2021 tetapi ditimbulkan semula di media sosial.

“Semakan menunjukkan ia (video) daripada YouTube ‘Malaysia And Israel – From Enemies To Allies?’ Berdasarkan carian dalam YouTube video itu adalah pada 17 Dis 2021, bukan 2023. Dua tahun yang lalu, waktu itu saya bukan menteri,” katanya selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya.

Fahmi berkata persoalan mengapa tiada tindakan diambil terhadap video tular itu seharusnya ditujukan kepada menteri dalam negeri serta menteri komunikasi dan multimedia ketika itu.

Fahmi juga menasihatkan orang ramai menyemak terlebih dahulu sama ada sesuatu video itu sahih, baru atau ditular sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.