Anwar sahkan akan umum rombakan Jemaah Menteri

Anwar sahkan akan umum rombakan Jemaah Menteri

Perdana menteri berkata pengumuman itu dijangka dibuat selewat-lewatnya 11 pagi ini.

Anwar Ibrahim berkata akan ada sedikit ‘penambahan’ portfolio dalam rombakan Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan akan mengumumkan rombakan Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata, pengumuman itu dijadual berlangsung selewat-lewatnya 11 pagi.

“Saya akan umum hari ini dalam pukul 10.30, 11:00 pagi…2.30 petang saya di istana. Tapi pukul 10.30 hingga 11.00 saya akan jawab, akan umum,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, akan ada pertambahan portfolio baharu berbanding sebelum ini, namun masih kecil berbanding pembentukan Jemaah Menteri kerajaan terdahulu.

“Akan ada sedikit pertambahan, (masih) ‘smaller than previous’,” katanya.

Sebelum ini, FMT memetik sumber sebagai berkata, akan berlaku pelantikan menteri kesihatan baharu.

Spekulasi berkait rombakan turut dikatakan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Memetik laporan Berita Harian, Anwar dijangka melantik menteri kewangan II, selain memisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital kepada dua kementerian.

Selain itu, dilaporkan beberapa muka lama dalam Jemaah Menteri ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah akan dibawa masuk semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.