Puad sangsi perjuangan penyatuan ummah Isham Jalil

Puad sangsi perjuangan penyatuan ummah Isham Jalil

Ahli MKT Umno berkata hanya 'selesa bermain solo' antara kelemahan Isham Jalil dalam karier politiknya.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata Isham Jalil tidak mempunyai keupayaan kerja berjemaah.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi sangsi keupayaan Isham Jalil memperjuangkan penyatuan orang Melayu, sambil mendakwa beliau tidak mempunyai semangat kerja berpasukan.

“Dia mahu meneruskan penyatuan ummah. Bolehkah buat kerja solo? Kalau kerja berjemaah pun tak boleh, bagaimana ummah boleh bersatu?

“Kalau rasa dia sahaja yang betul, buat ‘team’ sendiri. Boleh lihat ada tak pengikut pada pemain solo tidak berdisiplin,” katanya dalam catatan di Facebook.

Puad berkata, hanya “selesa bermain solo” antara kelemahan bekas ahli MKT Umno dalam karier politiknya.

“Sehebat Ronaldo, dia tidak ke mana kalau main solo. Ingkar arahan kapten dan jurulatih. Pasukan pun disalahkan apabila kalah.

“Pemain tidak berdisiplin bukan sahaja patut dikeluarkan tetapi dipecat. Itu yang Isham patut faham,” katanya.

Semalam, Isham yang dipecat minggu lalu mendakwa Presiden Umno Zahid Hamidi enggan bertanggungjawab terhadap kekalahan parti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Katanya, Zahid sebaliknya menyalahkan orang lain atas kegagalan Umno, termasuk PRK Kemaman pada 3 Dis, di mana calon Barisan Nasional (BN), Raja Affandi Raja Noor kalah kepada calon PAS.

Isham berkata, beliau akan terus memperjuangkan penyatuan orang Melayu, yang menurutnya sudah lama berpecah belah.

Surat pemecatan bertarikh 8 Dis yang ditandatangani Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan Isham dipecat serta-merta atas alasan melanggar etika sebagai ahli Umno.

Isham menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap keputusan itu yang dibuat tanpa melalui Lembaga Disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.