Ramkarpal lepas jawatan secara sukarela, kata Loke

Ramkarpal lepas jawatan secara sukarela, kata Loke

Setiausaha agung DAP berkata, bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi itu mahu mengelakkan parti didakwa mengamalkan nepotisme.

Loke Siew Fook berkata, Ramkarpal Singh percaya tidak sesuai untuk beliau dan abangnya dilantik menteri serta timbalan menteri pada masa sama. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ramkarpal Singh berundur secara sukarela sebagai timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi selepas mendapat tahu abangnya, Gobind Singh Deo akan dilantik menteri digital.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata Ramkarpal percaya tidak sesuai untuk mereka dua beradik menjadi menteri serta timbalan menteri pada masa sama.

“Kami berterima kasih kepada Ramkarpal atas sumbangannya dalam merangka pembaharuan undang-undang dan undang-undang baharu, tetapi beliau memutuskan untuk mengosongkan jawatannya supaya tiada ruang pengkritik menuduh DAP mengamalkan nepotisme,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini.

Selain Ramkarpal, seorang lagi pemimpin DAP, iaitu V Sivakumar digugurkan daripada rombakan Kabinet Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Gobind dilantik menteri digital, tambahan dalam Jemaah Menteri susulan rombakan itu. Jawatan Sivakumar pula diambil alih bekas timbalan menteri kewangan, Steven Sim.

Sementara itu, Loke menolak tanggapan DAP “pemenang terbesar” dalam rombakan Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, parti itu hanya diberikan satu jawatan tambahan.

“Tidak benar kami ialah pemenang terbesar. Kami hanya ada tambahan satu jawatan,” katanya merujuk Gobind yang dilantik menteri digital.

Beliau berkata dari segi tambahan jawatan, DAP sama dengan Umno.

Kementerian Komunikasi dan Digital antara dua kementerian yang dibahagikan kepada dua dalam rombakan hari ini. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim turut dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Sementara itu, Loke menolak kebimbangan Pengerusi DAP dan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng akan mempengaruhi adiknya, Lim Hui Ying yang dilantik timbalan menteri kewangan hari ini.

Hui Ying sebelum ini ialah timbalan menteri pendidikan. Guan Eng dilantik menteri kewangan ketika pentadbiran Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020.

Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata sebarang keputusan besar akan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri yang terdiri daripada wakil semua parti komponen kerajaan perpaduan.

“Dasar kerajaan tidak diputuskan menteri tertentu, apatah lagi timbalan menteri. Persepsi sedemikian tidak berasas dan tidak benar sama sekali kerana tiada seorang pun boleh menentukan dasar.

“Semua dasar mesti difikirkan dan dinyatakan dengan baik, serta dibincangkan Jemaah Menteri sebelum boleh dilaksanakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.