
Fahmi berkata, beliau sendiri serta pejabat dan kakitangannya tidak pernah membuat laporan berhubung perkara itu, malah SKMM bebas mengambil tindakan tanpa perlu merujuknya.
“Saya hanya mahu jelaskan SKMM menerima laporan daripada sesiapa saja, orang awam, saya belum berbincang dengan SKMM mengenai perkara tersebut, tetapi secara amnya SKMM tidak merujuk kepada saya sebelum mengambil tindakan, mereka bebas ambil tindakan. Jadi kadang-kadang mungkin orang awam yang laporkan.
“Saya tidak terkesan dengan hantaran ini, saya tiada masalah dia nak cakap macam itu dan saya dan pejabat saya tiada membuat laporan kepada SKMM berhubung isu tersebut. Jadi, ada yang menuduh seolah-olah saya (buat laporan), saya sahkan saya tak tahu pun,” katanya mengulas laporan sebuah portal mendakwa kerajaan melaporkan kepada platform X untuk meminta hantaran mengecam seorang menteri diturunkan.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Setem Khas Palestin Merdeka oleh Pos Malaysia.
Fahmi berkata, kementeriannya kini memfokuskan isu lebih penting, antaranya membanteras perjudian haram dalam talian, berita palsu serta isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Disebabkan itu, katanya, perkara berkenaan sama sekali tidak menjejaskan tumpuannya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau akan menemui wakil Google minggu depan untuk membincangkan isu kandungan lucah, yang boleh diakses menerusi laman penstriman YouTube, memandangkan beliau dapat banyak laporan berkaitannya.