Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan turun sedikit

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan turun sedikit

Keadaan di Selangor tidak banyak berubah malam ini.

Robiah Salim, 65, meredah banjir untuk ke pusat pemindahan sementara dengan membawa barang keperluan selepas pulang melihat keadaan rumahnya di Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan mencatatkan sedikit penurunan, manakala keadaan di Selangor tidak banyak berubah, malam ini.

Di Terengganu, mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah menurun kepada 330 orang daripada 109 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 461 mangsa membabitkan 148 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan, 132 mangsa ditempatkan di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong, PPS Kampung Pengkalan Ajal (146) dan PPS Kampung Kemat (39) di Hulu Terengganu.

Di Setiu, PPS Kampung Besut yang menempatkan lima mangsa dan PPS Surau Mak Bakas dengan lapan mangsa masih dibuka.

Lima PPS, termasuk empat di Hulu Terengganu dan satu di Setiu ditutup hari ini selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,033 orang daripada 289 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 1,201 orang daripada 336 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas serta Machang menjadi kawasan terbaharu terkesan banjir selepas Kuala Krai dan Tanah Merah dengan 18 PPS dibuka di empat jajahan itu.

Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan 105 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang di Kuala Selangor setakat 9 malam tadi berbanding 106 mangsa membabitkan 35 keluarga pagi tadi.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai mencapai bacaan paras bahaya, iaitu Sungai Klang di Selat Muara, Klang setinggi 3.02m dan Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang dengan bacaan 9.35m setakat 8.15 malam tadi.

Dua sungai pula di tahap waspada dengan Sungai Klang di Bandar Klang pada ketinggian 2.84m dan sungai di RS Batu 8, Kuala Langat setinggi 8.35m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.