Perubahan politik punca tiada jaminan PM Melayu, kata Muhyiddin

Perubahan politik punca tiada jaminan PM Melayu, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata undang-undang antilompat parti menyebabkan wakil rakyat terikat keputusan parti masing-masing termasuk memilih siapa menerajui kerajaan.

Muhyiddin Yassin berkata dengan tiada gabungan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, maka rundingan perlu dilakukan bagi memilih siapa menjadi perdana menteri.
PETALING JAYA:
Perubahan landskap politik menyebabkan tiada lagi jaminan Ahli Parlimen Melayu akan diangkat menjadi perdana menteri, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, perubahan besar politik berlaku dan ketara selepas PRU15 apabila tiada satu parti atau gabungan memperoleh majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Bekas perdana menteri berkata, dengan tiada gabungan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian, maka rundingan perlu dilakukan bagi memilih siapa akan menjadi perdana menteri.

Katanya, perubahan juga berlaku dengan adanya undang-undang antilompat parti yang menyebabkan wakil rakyat terikat keputusan parti masing-masing termasuk memilih siapa akan menerajui kerajaan.

“Dengan pindaan Perlembagaan mengenai lompat parti, wakil rakyat ini pula terikat keputusan parti. Jika pada masa akan datang ketua parti mereka atas apa jua alasan atau kepentingan memutuskan untuk menyokong seorang bukan Melayu sebagai perdana menteri, wakil rakyat itu mesti patuh. Jika tidak patuh mereka berisiko terlucut keahlian parti, terpaksa mengosongkan kerusi disandang dan mesti membayar pampasan.

“Maka, jadilah orang bukan Melayu sebagai perdana menteri dan orang Melayu tidak boleh berbuat apa-apa walaupun itu bukan kehendak mereka.

“Inilah sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita. Pada masa dahulu sistem ini menjamin orang Melayu menjadi perdana menteri. Tetapi dengan perubahan politik yang sedang berlaku dengan deras di negara kita, jaminan ini sudah tidak ada lagi,” katanya dalam dalam kenyataan.

Kenyataan Muhyiddin menyusuli gesaan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga dengan meminda Perlembagaan Persekutuan menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Anwar hari ini berkata tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian, menyatakan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga hari ini calon perdana menteri adalah orang Melayu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan hanya Melayu boleh menjadi perdana menteri, namun Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat ke jawatan berkenaan yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti.

“Jadi, menurut Perlembagaan Persekutuan, sekiranya majoriti Ahli Dewan Rakyat termasuk Melayu dan bukan Melayu, menyatakan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu untuk dilantik sebagai perdana menteri, maka jadilah dia perdana menteri,” kata Ahli Parlimen Pagoh.

Katanya, isu pelantikan perdana menteri dalam kalangan bukan Melayu sebelum ini tidak timbul kerana konsep perkongsian kuasa antara kaum diamalkan parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional membolehkan parti politik Melayu iaitu Umno mengetuai satu perikatan politik besar yang sentiasa mendapat mandat rakyat secara jelas dalam setiap pilihan raya.

“Apabila parti Perikatan/BN menang pilihan raya, maka ketua parti itu iaitu seorang Melayu dari Umno dilantik perdana menteri. Itulah yang berlaku dalam 13 kali pilihan raya umum di negara ini,” katanya.

Menurutnya, PN akan terus istiqamah berjuang mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan yang sah untuk semua kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.