Undang-undang hukum pikat isteri orang bercanggah perlembagaan, putus mahkamah

Undang-undang hukum pikat isteri orang bercanggah perlembagaan, putus mahkamah

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu tidak boleh diubah suai, lalu harus dimansuhkan menerusi kehakiman.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini hanya terpakai untuk kes-kes akan datang, bukan secara retrospektif, menurut Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang menjenayahkan tindakan memikat wanita yang sudah berkahwin sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

Menyampaikan penghakiman sebulat suara panel lima hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Seksyen 498 Kanun Keseksaan digubal sebelum Merdeka, justeru Perkara 162(6) dan 162(7) Perlembagaan Persekutuan terpakai.

“Kami berpandangan bahawa peruntukan itu tidak mampu diubah suai kerana ia akan mengubah watak kesalahan.

“Oleh itu satu-satunya cara (untuk membatalkannya) adalah dengan memansuhkannya menerusi kehakiman,” kata Tengku Maimun.

Tengku Maimun bersidang bersama Hakim Besar Malaya Zabidin Diah, serta Hakim Harmindar Singh Dhaliwal, Abu Bakar Jais dan Abdul Karim Abdul Jalil.

Tindakan memikat, membawa pergi atau menyembunyikan seseorang wanita yang sudah berkahwin ialah suatu kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020, selepas suami wanita itu membuat laporan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac tahun ini membenarkan permohonan lelaki itu untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan untuk penentuan.

Mahkamah berkata, persoalan undang-undang yang dipertimbangkan adalah sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan melanggar hak asasi semua orang untuk kesamarataan di sisi undang-undang, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 8(1) dan 8(2) perlembagaan.

Panel sebulat suara menjawab soalan itu dengan afirmatif.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata, keputusan mahkamah tertinggi itu hanya terpakai untuk kes-kes akan datang, bukan secara retrospektif.

Mahkamah kemudian meremitkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuat pengisytiharan dan mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 85 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Terdahulu, semasa penghujahan, Tengku Maimun berkata, kedua-dua pihak bersetuju bahawa Seksyen 498 menganggap wanita yang sudah berkahwin sebagai “harta” suami mereka.

Peguam Jayarubbiny Jayaraj, dibantu oleh Jay Moy dan Puteri Batrisyia Abdul Latif, berhujah bahawa Seksyen 498 bersifat kuno dan paternalistik, selain melanggar autonomi dan merendah-rendahkan maruah wanita.

Jayarubbiny juga berkata, peruntukan itu mendiskriminasi wanita yang sudah berkahwin dan mudah disalah guna.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim dan Eyu Ghim Siang menjawab, Seksyen 498 tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menafikan peruntukan itu mendiskriminasi, Yusaini berkata, wanita yang berkahwin tidak boleh diklasifikasikan dalam kategori yang sama dengan lelaki, khususnya dari aspek perlindungan daripada keganasan dan jenayah kerana kriteria berbeza terpakai.

Objektif Seksyen 498 adalah untuk melindungi hak suami mengekalkan perkahwinan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.