
Beliau berkata, pertimbangan semula dibuat selepas mendapat saranan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang meminta beliau terus memegang jawatan itu, Selasa lalu.
“Selepas meneliti dan maklum balas kepada galakan yang diterima daripada menteri serta perbincangan panjang lebar bersama ahli Majlis BAM, saya memutuskan untuk kekal sebagai presiden BAM.
“Keputusan ini dibuat bagi memastikan kestabilan dan tumpuan semasa fasa kritikal terutama persediaan menghadapi Sukan Olimpik 2024 Paris tahun depan. Matlamatnya masih jelas, iaitu bekerja secara kolektif ke arah memenangi emas untuk Malaysia di Paris,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis BAM.
Norza yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) berkata, penting untuk beliau kekal sebagai presiden BAM kerana kem badminton lazimnya menjadi blok utama atau majoriti atlet negara ke Sukan Olimpik.
Menurutnya, ahli Majlis BAM juga sebulat suara bersetuju mengekalkan jawatan presiden itu terlebih dahulu walaupun beliau dijadualkan menamatkan penggalnya pada 2025 sebelum mengumumkan untuk melepaskan jawatan.
“Sudah tentu tumpuan sehingga Sukan Olimpik tetapi pada masa ini ahli majlis tidak mahu saya nyatakan bila, jadi kita biarkan sahaja. Apabila saya putuskan untuk umumkan (kekal sebagai presiden BAM), saya mendapat tepukan gemuruh (daripada ahli Majlis BAM), mereka semua menunjukkan sokongan apabila saya mahu meneruskannya,” katanya.
Julai lalu Norza mengumumkan beliau akan meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris, namun mengejutkan ramai pihak apabila mahu melepaskan jawatannya penghujung tahun ini.
Spekulasi mengenai jawatan tertinggi BAM terjawab Oktober lalu selepas ahli majlis sebulat suara bersetuju melantik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz sebagai presiden BAM baharu.
Sementara itu, Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata beliau berhubung dengan Tengku Zafrul mengenai perkara berkenaan dan menteri tersebut faham mengenai situasi semasa.
“Beliau (Tengku Zafrul) juga mempunyai pendapat sama bahawa BAM perlu diserahkan kepada beliau apabila tiba masanya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden BAM V Subramaniam melahirkan penghargaan atas kesudian Norza yang memutuskan kekal sambil menyifatkannya sebagai “bos” yang komited dan bukan sekadar “memanaskan kerusi” presiden.