Shafie yang sebut, bukan Umno, kata Asyraf berkait kerjasama Warisan

Shafie yang sebut, bukan Umno, kata Asyraf berkait kerjasama Warisan

Umno Sabah belum membuat ketetapan berhubung kerjasama PRN.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan partinya akan bekerjasama dengan Warisan pada PRN Sabah hanya dibuat oleh Shafie Apdal.

Asyraf berkata, Umno Sabah belum membuat sebarang ketetapan berhubung kerjasama itu.

“Bukan Umno Sabah (yang buat kenyataan) tapi Shafie Apdal (presiden Warisan) yang sebut.

“Umno Sabah tak komen apa-apa. Kita belum buat apa-apa keputusan lagi,” katanya ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Asyraf mengulas dakwaan Shafie berhubung kerjasama Umno Sabah dan Warisan pada PRN akan datang.

Sebelum ini, Shafie dilapor berkata Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin setuju bekerjasama untuk melawan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, pada 14 Dis lalu Timbalan Ketua Umno Sabah, Rahman Dahlan, nafi pihaknya akan bekerjasama dengan Warisan pada PRN akan datang.

Katanya, Umno Sabah belum membuat keputusan mengenai rakan kerjasama bagi PRN.

Sementara itu, ketika ditanya bila perbincangan akan diadakan mengenai perkara tersebut, Asyraf hanya menjawab “esok pilihan raya ke? Belum lagi kan…”.

Penggal kerajaan Sabah bakal berakhir pada Oktober 2025. Bagaimanapun, Hajiji membayangkan kemungkinan pilihan raya negeri diadakan seawal tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.