
Pengerusi Tetap Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan, berkata parti perlu bimbang kerana tidak lagi mewakili Kementerian Kewangan susulan rombakan Jemaah Menteri minggu lalu.
Rombakan itu menyaksikan bekas setiausaha agung parti dan timbalan menteri kewangan, Ahmad Maslan dipindahkan ke Kementerian Kerja Raya sebagai timbalan menteri.
Wan Agyl berkata, pelantikan bekas menteri kewangan II, Johari Ghani sebagai menteri perladangan dan komoditi menjadikan sukar bagi rakyat mendengar pandangan Umno mengenai ekonomi.
“Apabila bercakap tentang ekonomi di Dewan Rakyat, Johari adalah jaguh Umno. Namun, dalam Jemaah Menteri adanya tanggungjawab kolektif. Jadi, ini bermakna orang awam mungkin tidak dapat mendengar pandangannya berhubung isu berkait ekonomi.
“Ini meninggalkan lompang dalam Umno yang bukan mudah untuk diisi, terutama ketika parti sedang bergelut untuk berhubung dengan rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, memandangkan ekonomi penting bagi pengundi, Umno mesti mencari jalan untuk memastikan suara parti didengar.
“Kita mesti berjaga-jaga menjelang pilihan raya akan datang. Kita berada dalam situasi sukar dan keputusan pilihan raya baru-baru ini menjadi bukti.”
Umno mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya termasuk PRN enam negeri di mana parti itu hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi.
Wan Agyl berkata, situasi dialami sepatutnya menjadi amaran kepada Umno bangun semula dan mengetengahkan bakat dalam parti.
“Umno mesti membuktikan kepada rakyat parti ini boleh berubah dan layak menerajui kerajaan sekali lagi.
“Kuncinya adalah mengiktiraf dan menerima kepelbagaian pandangan dan membuang politik lapuk,” katanya.