Tunggu arahan KKM, menteri beritahu IPT berkait Covid-19

Tunggu arahan KKM, menteri beritahu IPT berkait Covid-19

Zambry Abd Kadir berkata sebarang nasihat dan arahan KKM sepatutnya dijadikan panduan untuk IPT melaksanakan langkah seterusnya.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata IPT perlu mengikut arahan atau nasihat KKM mengenai Covid-19. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir meminta pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) merujuk kepada nasihat atau arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, sebarang nasihat dan arahan daripada KKM sepatutnya dijadikan panduan untuk IPT bagi melaksanakan langkah seterusnya.

“Saya telah maklumkan beberapa hari lalu, iaitu apa pun tindakan yang hendak dilakukan oleh pihak universiti, hendaklah berasaskan kepada apa yang dimaklumkan atau diarah oleh KKM.

“Apa-apa pun kita bergantung apa yang disebut mereka (KKM), saya tak boleh keluarkan kenyataan berkaitan dengan hal ehwal kesihatan,” katanya kepada media selepas majlis penutup Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2023 Edisi ke-24.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan untuk mengadakan sesi pembelajaran secara dalam talian susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.