Mangsa banjir Pantai Timur meningkat

Mangsa banjir Pantai Timur meningkat

Jumlah mangsa banjir di PPS di Kelantan, Terengganu, dan Pahang dilaporkan meningkat.

Banjir gelombang ketiga di Terengganu dilaporkan semakin buruk, manakala Gua Musang menjadi kawasan baharu terjejas di Kelantan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, dan Pahang merekodkan peningkatan malam ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,599 orang daripada 441 keluarga setakat 8 malam tadi, berbanding 856 orang daripada 235 keluarga yang direkodkan pagi tadi.

Jajahan Gua Musang menjadi kawasan baharu terjejas selepas Pasir Mas, Jeli, dan Tanah Merah.

Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kelantan, 38 mangsa daripada tujuh keluarga di Gua Musang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.

Empat PPS dibuka di Jeli melibatkan SK Jeli 1, SK Bukit Jering, SK Lubok Bongor, dan SK Kuala Balah.

Mangsa banjir di Pasir Mas berlindung di PPS SK Gual To’Deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, SK Gual Periok, dan Madrasah Mukim Padang Licin.

Mangsa di Tanah Merah ditempatkan di SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SMK Bukit Bunga, SK Lawang, dan SK Gual Jedok.

Banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di empat daerah meningkat kepada 826 orang daripada 253 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 340 orang daripada 91 keluarga pagi tadi.

Sekretariat JBPN Terengganu memaklumkan 439 mangsa daripada 118 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di daerah Dungun, sementara 73 mangsa daripada 19 keluarga berlindung di tiga PPS di Setiu.

Di Hulu Terengganu, 302 mangsa daripada 113 keluarga dipindahkan ke enam PPS.

Marang kekal mencatatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sejak PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai dibuka semalam.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di SK Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut meningkat sedikit kepada 78 orang daripada 19 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 75 orang daripada 19 keluarga setakat 4 petang tadi.

Sekretariat JPBN Pahang memaklumkan hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan Sungai Siam melimpah sehingga menyebabkan beberapa rumah di Kota Gelanggi 1 dinaiki air, namun banjir telah surut dan masih dipantau dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.