Persatuan pengilang mohon tetapkan kuota belian padi 20,000 tan metrik

Persatuan pengilang mohon tetapkan kuota belian padi 20,000 tan metrik

Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia berkata peruntukan kuota akan beri peluang sama rata kepada setiap kilang.

Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendakwa banyak pengilang kecil tutup kerana gagal peroleh belian padi.
ALOR SETAR:
Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon agar kerajaan menetapkan kuota belian padi pada 20,000 tan metrik sahaja kepada setiap kilang.

Pengerusi Mohamad Termizi Yop berkata dengan peruntukan kuota itu setiap kilang akan mendapat peluang sama rata, sekali gus membantu pengilang khususnya Bumiputera.

“Sekarang tiada kuota ditetapkan. Ada pengilang yang terima belian padi 40,000, 60,000, dan 70,000 tan metrik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung PPBMM.

Menurutnya, persatuan juga mendapati banyak pengilang beras kecil terutama milik Bumiputera gulung tikar apabila gagal memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi.

Beliau berkata di Kedah, daripada 35 pengilang Bumiputera, hanya tujuh yang masih aktif beroperasi.

Termizi berkata pihaknya yakin penetapan kuota itu dapat membantu mengatasi pelbagai isu berkaitan bekalan beras negara seperti penyelewengan dan penipuan sehingga berlaku kekurangan beras seperti sebelum ini.

Selain itu, PPBMM juga memohon supaya pindahan padi antara negeri ke negeri dikaji semula, dan perlu mendapat pandangan daripada setiap kilang di dalam negeri tersebut terlebih dahulu.

“Perkara ini juga perlu diberi perhatian bagi mengelak berlakunya tawaran harga daripada orang tengah yang tidak munasabah dan mengaut keuntungan,” katanya.

Antara isu lain perlu diberi perhatian ialah memastikan simpanan beras negara adalah beras tempatan sahaja dan kerajaan diminta menyediakan gudang di setiap negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.