
Menteri komunikasi itu berkata, kerajaan perpaduan berjaya merangka lima dasar “cukup bersejarah” dalam tempoh setahun mentadbir negara, termasuk rangka kerja ekonomi Madani, dasar gaji progresif dan dasar peralihan tenaga.
Katanya, dasar itu dihasilkan kerana kekuatan dan kestabilan kerajaan perpaduan yang dianggotai bekas gabungan seteru seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, antara lain.
“Dalam tempoh setahun ini, macam-macam cerita rekaan dan mitos pihak tertentu cuba mainkan. Kononnya, kerajaan Madani tak akan stabil, mesti akan gaduh sesama sendiri.
“Tapi dalam setahun ini, kerajaan Madani buktikan yang kita boleh bersatu jalankan tugas dan fokus pada kerja membantu rakyat.
“Kita telah bermula dengan baik, insya Allah perjalanan ini akan diteruskan. Semoga 2024 lebih baik buat kita semua,” katanya di aplikasi X.
Susulan penubuhan kerajaan perpaduan, Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu mendakwa kerajaan baharu itu tidak stabil dan boleh diancam BN pada bila-bila masa.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Pengerusinya, Muhyiddin Yassin serta kerajaan dianggotai menteri PN dan BN yang diketuai Naib Presiden Umno ketika itu, Ismail Sabri Yaakob berdepan nasib sama.