
Sehubungan itu, beliau berkata tidak perlu untuk Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) berlangsung 29 Feb hingga 2 Mac depan membincangkannya seperti dicadangkan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dari PKR.
“Kita pertahankan kedudukan Perlembagaan termasuk Perkara 153.
“(Jadi) tak perlu bincang, dah ada dalam Perlembagaan,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-15.
Semalam, Hassan dilaporkan berkata kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu dibincang pada KEB 2024 supaya benar-benar memberi manfaat kepada orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau juga mempersoalkan jika dasar afirmatif sebenarnya telah “dirampas dan dimanipulasi” segelintir golongan elit Bumiputera.
Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia.
Kenyataan Hassan itu selepas Anwar berkata KEB 2024 akan bersifat lebih inklusif.
KEB 2024 bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif, di samping akan mencadangkan pendekatan menyeluruh.
Dianggarkan seramai 3,000 peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak dijangka menghadiri KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
KEB 2024 dianjurkan Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).