Tolak suara sumbang Pemuda Umno boikot KK Mart, gesa kumpulan orang awam

Tolak suara sumbang Pemuda Umno boikot KK Mart, gesa kumpulan orang awam

Kumpulan itu meminta semua pihak menerima siasatan pihak berkuasa sejak kontroversi stoking kalimah Allah tercetus dua minggu lalu.

KK Mart telah memohon maaf susulan penemuan stoking kalimah Allah ditemui di beberapa premisnya, dua minggu lalu.
PETALING JAYA:
Kumpulan orang awam pelbagai latar belakang dan kaum menggesa semua pihak menolak suara sumbang Pemuda Umno yang menggerakkan gesaan boikot terhadap KK Mart berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan 40 individu itu, mereka meminta semua pihak menerima proses penyiasatan dan keadilan dari pihak berkuasa yang telah dijalankan sejak kontroversi terbabit cetus dua minggu lalu.

“Kami, rakyat Malaysia dari semua agama,dan semua kaum, menghormati semua nama-nama Tuhan dari semua agama termasuk nama Allah bagi orang Islam.

“Justeru kami menerima permohonan maaf KK Mart terhadap kesilapan dan kecuaian wujudnya stoking berlabel Allah di dua buah cawangan dari lebih 800 jumlah cawangan lain,” katanya yang bimbang lebih 5,000 pekerja di serbaneka itu akan terjejas dengan tindakan boikot Pemuda Umno.

Kumpulan tersebut antaranya diwakili Pensyarah Universiti UCSI Tajuddin Rasdi; bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail; Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Teh Yik Koon dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, ⁠Zarazilah Mohamed Ali.

Pengasas Pergerakan Rapera, Jahaberdeen Mohamed Yunoos; Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin dan beberapa wakil dari Sabah serta Sarawak iaitu Remy Majangkim dan Henry Joseph.

Kumpulan itu berkata pihaknya kecewa di atas tindakan Pemuda Umno mensia-siakan nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membiarkan isu rangkaian kedai serbaneka itu diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Minggu lalu, Anwar dan Timbalannya Zahid Hamidi yang juga presiden Umno menyeru semua pihak tidak memanjangkan lagi isu stoking tertera kalimah Allah.

Kontroversi tercetus susulan penularan gambar di media sosial, memaparkan stoking tertera kalimah Allah di sebuah kedai KK Mart. Kilang yang terbabit dengan kontroversi ini menutup operasi, manakala KK Mart memohon maaf atas kejadian itu.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno menyokong penuh pendirian Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berhubung isu penjualan stoking ini, di sebalik kritikan daripada pelbagai pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.