
Pengerusi PAGE, Noor Azimah Rahim berkata, KPM juga perlu segera melantik guru pengganti untuk mengisi kekosongan itu.
“Guru (disyaki) itu tidak patut dibenarkan terus berada di sekolah lagi atau ditukarkan ke sekolah lain,” katanya kepada FMT.
Ketika ini, menurutnya, guru disiasat atas pelanggaran etika serius ditukarkan ke sekolah lain akibat proses pemecatan rumit.
“Mungkin juga kerana menteri takut mencetuskan kemarahan guru kerana mereka pengundi penting.”
Pada 16 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi amaran pendidik atau kakitangan sekolah terbabit kesalahan gangguan seksual terhadap pelajar akan dipecat, selain didakwa.
Katanya, KPM komited memastikan sekolah tempat paling selamat buat pelajar selepas rumah.
Azimah berkata, hukuman lebih berat mengikut undang-undang akan menjadi penghalang, manakala perlindungan patut diberikan kepada pemberi maklumat yang mendedahkan kes sedemikian.
“Perlu ada saluran selamat dimaklumkan kepada pelajar supaya mereka berasa selamat apabila mendedahkan keadaan sedemikian.
“Sebelum ini, guru tidak memandang serius aduan pelajar dan meminta mereka berhenti fikir bukan-bukan. Sebaliknya, situasi akan berubah dan menjadikan mangsa sebagai pihak bersalah.”
Beliau berkata, KPM mesti melindungi pelajar berkeperluan khas dan mereka yang melaporkan kes guru ponteng kelas melampau.
Pakar pendidikan, Zuwati Hasim dari Universiti Malaya berkata, guru dan kakitangan sekolah perlu dilatih mengenal pasti tanda gangguan dalam kalangan pelajar serta implikasi undang-undang bagi kes sedemikian.
“Pelajar juga perlu diajar mengenai hak mereka dan dibimbing mengenai tindakan patut diambil jika mereka merasakan diganggu,” katanya sambil menambah mekanisme pelaporan berpusat dan cekap berdasarkan langkah awal akan membolehkan mangsa mendapat bantuan segera.