
Daripada 203 premis yang diperiksa Jabatan Alam Sekitar, tiga kertas siasatan dibuka bagi tujuan pendakwaan, 50 premis diberikan notis arahan dan lima premis dikenakan penahanan operasi kelengkapan.
Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia membabitkan kesalahan pelepasan efluen perindustrian tidak terawat, pelupusan haram buangan terjadual serta pembakaran terbuka.
Beliau berkata, Ops Gempur Raya 2024 memfokuskan premis di sektor industri yang dikenal pasti berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar membabitkan industri pembuatan produk logam, kertas, galian bukan logam, makanan, kimia, berasaskan getah dan plastik serta produk berasaskan petroleum.
“Tumpuan turut diberikan kepada premis yang terletak di hulu takat pengambilan air,” katanya selepas mengetuai Ops Gempur Raya 2024 di sekitar kawasan perindustrian Seksyen 15 di sini.
Nik Nazmi berkata, 662 daripada 4,547 premis yang diperiksa menerusi Ops Gempur mulai 1 Jan lalu hingga semalam dikenakan tindakan kerana menyebabkan pencemaran alam sekitar.
“Mengikut Seksyen 348 Akta Kualiti Alam Sekitar, iaitu berkaitan pengurusan buangan terjadual, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000.”