PRM nafi ditaja tanding di KKB, pecah undi Melayu

PRM nafi ditaja tanding di KKB, pecah undi Melayu

Hafizah Zainuddin berkata PRM mahu menang dengan mendapat sokongan semua kumpulan pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Hafizah Zainuddin turut menafikan dakwaan bahawa Parti Rakyat Malaysia (PRM) mesra Pakatan Harapan (PH).
HULU SELANGOR:
Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin menafikan dirinya ditaja oleh pihak tertentu untuk memecahkan undi Melayu pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Bercakap kepada FMT, Hafizah berkata pihaknya bertanding kerana ingin menang dan mendapat sokongan daripada semua kumpulan pengundi bukan hanya Melayu yang mewakili 46% daripada 40,226 pengundi di DUN terbabit.

“Kita masuk PRK bukan sebab nak pecahkan undi Melayu memandangkan saya orang Melayu, sebab dalam PRM semua bangsa ada termasuk Cina dan India.

“Nak bertanding pun kita tak pernah dihubungi mana-mana parti untuk taja supaya bertanding dalam PRK…ini keputusan pucuk pimpinan PRM,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau juga menafikan dakwaan parti itu mesra dengan PH yang meletakkan Pang Sock Tao untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu, disandangnya sejak tiga penggal lalu.

“Kalau mesra sudah lama sertai gabungan mereka, tetapi kita tetap dengan pendirian gerak solo untuk menjaga prinsip.

“Malah arwah bapa mentua saya (Ariffin Salimon) yang juga bekas presiden pesan jangan sertai mana-mana gabungan hanya untuk raih kemenangan,” katanya yang turut mengakui keputusan bertanding PRK dibuat pada saat-saat akhir sebelum pencalonan 27 April lalu.

Selain Pang dan Hafizah, PRK Kuala Kubu Baharu turut ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut dan calon bebas Nyau Ke Xin.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong daripada PH akibat barah pada 21 Mac lalu. Pada PRN Selangor Ogos lalu, Lee menang dengan majoriti 4,119 undi.

Seramai 40,226 pemilih layak mengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.