
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, berkata pihaknya juga akan memastikan tiada boikot daripada ahli parti itu kepada calon terbabit selepas gabungan itu tidak bertanding di kerusi berkenaan.
“Terdapat lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Umno mempunyai ahli yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang. Jadi, tumpuan kita ialah pengundi Umno di samping kita cuba menarik pengundi Melayu untuk mengundi calon (kerajaan perpaduan).
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk memaksimumkan usaha untuk (memastikan pengundi putih Umno keluar mengundi), jika boleh sejumlah besar yang mengundi,” katanya pada sidang media selepas satu majlis.
Pada PRN Pulau Pinang tahun lalu, Perikatan Nasional menerusi calon daripada PAS menewaskan calon Pakatan Harapan dengan majoriti 1,563 undi.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Kali ini, PH mempertaruhkan Joohari untuk merampas kerusi itu daripada PN, yang meletakkan Abidin Ismail, pembantu kepada Zamri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai dengan penamaan calon dijadualkan esok.