Azmin-Noh bakal bertembung dalam Bersatu Selangor, kata pemimpin PKR

Azmin-Noh bakal bertembung dalam Bersatu Selangor, kata pemimpin PKR

Khairuddin Othman berkata kemasukan Noh Omar mungkin memberi ancaman kepada pemimpin lain dalam Bersatu termasuk Azmin Ali.

Noh Omar dan Azmin Ali yang pernah berseteru ketika kedua-duanya dalam PKR serta Umno kini bersama dalam Bersatu Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak gentar berdepan ancaman Bersatu negeri itu yang diperkuatkan dengan kemasukan bekas menteri Noh Omar, kelmarin.

Malah, mereka berpendapat kemasukan bekas ketua Umno Selangor itu mungkin memecahbelahkan Bersatu yang ketika ini diketuai Adun Hulu Kelang Azmin Ali.

Khairuddin Othman.

Setiausaha PKR Selangor Mohd Khairuddin Othman menjangkakan berlaku pertembungan di antara Noh dan Azmin yang kesannya akan dirasai Perikatan Nasional (PN).

“Kemasukan Noh akan menjadikan PN berpecah dan mengancam satu sama lain.

“Noh dan Azmin pasti bertembung antara satu sama lain manakala PAS akan sentiasa menjadi ‘yes man’ kepada Bersatu,” katanya kepada FMT mengulas penyertaan Noh ke Bersatu yang didakwanya kerana bersimpati dengan nasib bekas perdana menteri Najib Razak.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas presiden Umno itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

“Disebabkan rayuan Najib tidak berjaya maka ambil keputusan untuk sertai Bersatu secara online semalam,” kata Noh yang pernah menjadi menteri di era pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan Ismail Sabri Yaakob.

Tahun lalu, Noh dipecat Umno kerana atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen PRU15 yang menyaksikannya digugurkan daripada bertanding kerusi Parlimen Tanjong Karang diwakilinya selama enam penggal.

Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Setiausaha Umno Selangor Abdul Mutalif Abdul Rahim pula membidas alasan Noh menyertai Bersatu kerana Najib dan disifatkan tidak masuk akal.

“Beliau pernah kata nak fokus bidang guaman dan selepas dapat lesen peguam semula mengapa tak tolong Najib (dalam perbicaraan mahkamah) secara percuma?,” katanya yang turut mendakwa Noh mungkin mahu dirinya dipertimbang sebagai calon di Tanjong Karang jika ada PRK.

Abbas Azmi

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor Abbas Azmi berkata penyertaan Noh dalam Bersatu akan menambahkan lagi polemik antara parti komponen PN Selangor.

“Saya rasa PAS Selangor akan terkilan kerana Noh tak bersama mereka, boleh jadi polemik nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.