
Ketua Polis Melaka Zainol Samah berkata laporan berkaitan kejadian yang berlaku di depan Surau Warisan itu diterima semalam yang dibuat empat individu termasuk kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka, lapor Bernama.
“Laporan dibuat susulan video tular di TikTok yang memaparkan sekumpulan individu menyebarkan risalah atau mempromosi agama Kristian kepada orang ramai, di hadapan surau berkenaan.
“Pengadu meminta pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat seperti yang tular dalam video tersebut,” katanya.
Pada Khamis lalu, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois mengecam tindakan sekumpulan individu yang dirakam mempromosikan ‘kursus Injil’ percuma di hadapan sebuah surau di Melaka.
Presidennya Tan Hoe Chieow berkata tindakan itu ‘sangat salah’ dan kumpulan agama harus beretika dalam menyebarkan agama masing-masing.
Tan juga menggalakkan jawatankuasa surau ‘mengusir kumpulan itu’ jika mereka kembali lagi dan membuat laporan polis.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 16 saat di media sosial menunjukkan sekumpulan individu duduk atau berdiri berhampiran troli buku dengan satu poster ‘Free Bible Courses’ di hadapan sebuah surau.