
Menyertai Umno selepas penamaan calon semalam, Che Ariffin Hussin berkata tindakan bersama majoriti ahli Bersatu Gua Musang itu kerana kecewa pemilihan bekas pemimpin PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Komponen itu bertanding menggunakan logo bulan pada PRK 17 Ogos depan.
Tegasnya, pucuk pimpinan sepatutnya memilih pemimpin dan ahli Bersatu layak di Gua Musang bukan ‘mengimport’ Mohd Rizwadi yang menyertai parti itu pada saat-saat akhir sebelum diumum sebagai calon pada 29 Jul lalu.
“Kita ada 1,000 pemimpin serta ahli boleh dipilih tetapi kenapa ambil orang PAS sehingga dia sanggup keluar parti dan masuk Bersatu?.
“Tindakan ini ibarat serah kerusi milik Bersatu kepada PAS, sepatutnya dipertahankan sebab jumlah wakil rakyat parti ini sudah tidak banyak (dalam DUN Kelantan),” katanya kepada FMT.
Bersatu mempunyai lima Adun di Kelantan berbanding 37 PAS, tidak termasuk kerusi Nenggiri yang kosong susulan pemakluman penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli parti kerana mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Kerusi milik Bersatu itu adalah Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Ayer Lanas dan Paloh.
Mengakui dirinya salah seorang daripada lima calon ditapis Bersatu sebelum ini, Che Ariffin turut mendakwa pimpinan tidak berunding dengan pemimpin bahagian dan cawangan yang hanya mengetahui pemilihan Rizwadi pada majlis pengumuman.
“Ramai tak setuju,” katanya yang enggan kembali ke Bersatu.
Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud yang mengumumkan pencalonan Rizwadi berkata bekas pegawai tentera laut itu dibenarkan menyertai Bersatu dari PAS mengambil semangat kerusi Nenggiri milik sekutunya dalam PN.
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu pula mendakwa tiada isu berbangkit kerana Mohd Rizwadi tetap mewakili gabungan PN dan tidak timbul partinya ketandusan calon.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan PAS dan BN yang mencalonkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 18 Jun lalu, 20,259 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
Pada PRN tahun lalu, Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.