
Kedua-duanya yang berusia 18 dan 29 tahun dari Semenanjung itu masuk ke negeri terbabit secara berasingan dengan membawa dadah melalui dua lapangan terbang sebelum ditahan ketika cuba melepasi pemeriksaan pada Selasa lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang, berkata suspek pertama ditahan pada 12.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tawau selepas imbasan imej mengesan 10 bungkusan plastik hijau kuning jenama ‘Guangyiwang’ yang mencurigakan dalam begnya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan itu berisi 10.199g dadah berbahaya yang dianggarkan bernilai RM326,389.
“Suspek terus ditahan bersama dadah berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini, menurut Berita Harian.
Menurutnya, suspek kedua yang berusia 18 tahun kemudiannya ditahan pada 1 tengah hari ketika cuba melepasi pemeriksaan mesin imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Pemeriksaan mendapati suspek membawa bagasi berisi 10 bungkusan mengandungi dadah seberat keseluruhan 10.194 gram. Dia ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada mempunyai hubung kait dengan suspek pertama.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Siasatan lanjut juga untuk mengesan sebarang jaringan sindiket yang lebih besar.
“Modus operandi kes ini ialah mereka menggunakan bungkusan plastik warna hijau jenama ‘Guanyinwang’ yang diseludup masuk ke dalam negara melalui kapal penumpang,” katanya.