Miti tak pernah umum Tesla buka kilang di Malaysia, kata Tengku Zafrul

Miti tak pernah umum Tesla buka kilang di Malaysia, kata Tengku Zafrul

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata kementeriannya bagaimanapun akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

zafrul
Tengku Zafrul Aziz berkata strategi untuk menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja.
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) tidak pernah membuat pengumuman Tesla akan membuka kilangnya di Malaysia, kata Menterinya, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau akui ada perbincangan dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang.

“Sekali lagi saya ulang, Miti atau mana-mana agensinya tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia.

“Walau apapun, Miti akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata dakwaan menyebut Tesla membatalkan rancangan pengeluarannya di Asia Tenggara termasuk Malaysia perlu dirujuk kepada syarikat gergasi itu.

Semalam, laporan dalam talian Thailand, The Nation memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand tetapi di peringkat dunia.

Ia menyebut rancangan pembinaan kilang seluruh dunia Tesla digantung kecuali di China, Amerika Syarikat, dan Jerman.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata strategi untuk menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja.

Beliau berkata dari 2022 hinggalah suku pertama 2024, Miti telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan kenderaan elektrik (EV) daripada syarikat seperti Chery, Gemilang Coachwork, Samsung SDI Energy, NexV Manufacturing dan EVE Energy.

“Pengeluar tempatan kita turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka.

“Miti akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.