Polis Johor rampas dadah bentuk jeli

Polis Johor rampas dadah bentuk jeli

Ketua Polis Johor M Kumar berkata ini kali pertama pihaknya merampas dadah dijual secara kombo jeli dan dadah cecair guna label minuman popular.

m kumar
Ketua Polis Johor M Kumar menunjukkan dadah dalam bentuk jeli yang dirampas dalam serbuan di sekitar Tangkak dan Johor Bahru.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis Johor berkata pihaknya buat pertama kali berjaya merampas dadah dalam bentuk ramuan jeli, dalam empat serbuan berasingan di sekitar Tangkak dan Johor Bahru, baru-baru ini, kata ketuanya, M Kumar.

Katanya, setiap bekas jeli dadah itu dijual pada harga RM150 hingga RM200.

“Sindiket juga menjual secara kombo jeli dan dadah (cecair) dengan harga RM480. Kita percaya ianya dijual kepada pelanggan tertentu.

“Sindiket ini juga menggunakan botol air minuman berperisa untuk campuran dadah, yang dijual pada harga RM200 sebotol di pasaran. Biasanya sindiket akan menggunakan label minuman popular bagi mengelak kegiatan mereka dikesan,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, menurut Berita Harian.

Kumar ketika mengulas lanjut, berkata dalam serbuan bermula 3 Ogos hingga semalam, pihaknya menumpaskan sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah apabila merampas dadah bernilai RM3.44 juta.

Katanya, dua ahli sindiket berusia 33 dan 36 tahun turut ditahan dengan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain polis masih mengesan saki baki ahli sindiket.

“Modus operandi kegiatan ini menjadikan kenderaan di kawasan parkir sebuah apartment di Johor Bahru sebagai tempat penyimpanan dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Kegiatan sindiket aktif sejak Jun lalu,” katanya.

Rampasan turut melibatkan serbuk ekstasi 18,634.60g, 115 botol jus minuman bercampur dadah (47.90 liter), 55 bekas jeli disyaki campuran ekstasi (1,674g), 17 peket ketamin (24.08g), 35 biji pil ekstasi (15.20g), dan 50 biji pil eramin 5 (13.60g).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.