‘Tanya Tesla’, Tengku Zafrul ulas laporan batal pengeluaran Asia Tenggara

‘Tanya Tesla’, Tengku Zafrul ulas laporan batal pengeluaran Asia Tenggara

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata beliau tidak mengetahui perkara itu sambil berseloroh 'saya tidak bekerja dengan Tesla'.

tengku zafrul
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, bercakap ringkas kepada pemberita selepas hadir satu majlis di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.
KULIM:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata dakwaan menyebut Tesla membatalkan rancangan pengeluarannya di Asia Tenggara termasuk Malaysia perlu dirujuk kepada syarikat gergasi itu.

“Anda tanya Tesla, saya tidak bekerja dengan Tesla,” katanya ketika diminta mengulas laporan dalam talian Thailand, The Nation.

“Saya tidak tahu, anda tanya Tesla.”

Ditanya sama ada kementerian akan mengeluarkan kenyataan rasmi, Tengku Zafrul enggan mengulas lanjut kepada pemberita.

Semalam, portal berita berkenaan memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand tetapi di peringkat dunia.

Laporan itu menyebut rancangan pembinaan kilang seluruh dunia Tesla digantung kecuali di China, Amerika Syarikat, dan Jerman.

Hari ini, menurut Bernama memetik jurucakap Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sebagai berkata hasrat Tesla membatalkan pengeluarannya di Asia Tenggara mungkin satu keputusan komersial operasinya di peringkat global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.