
Tertuduh, Abdul Aziz Hussin, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Aziz yang masih mengajar di sebuah sekolah di Batu Pahat didakwa diberi suapan daripada dua individu berbeza termasuk seorang pemilik syarikat dengan nilai keseluruhan RM33,870.10, yang mana tertuduh gagal melaporkan pemberian itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semua pertuduhan dilakukan di sebuah bank di Jalan Niaga, dekat Kota Tinggi pada 9 November 2022 dan 17 Januari 2023.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dijatuhkan hukuman di bawah seksyen 25(2) akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Pegawai pendakwa SPRM Alice Voon Mei Ling mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Sharif.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jumlah RM30,000 untuk kesemua pertuduhan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.
Bagaimanapun, tertuduh menerusi peguamnya memohon jumlah itu dikurangkan kerana menyara lapan anak yang masih belajar selain perlu menanggung kedua ibu bapanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan, passport diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Batu Pahat.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 8 September ini untuk serahan dokumen.