
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan dalam operasi khas antara 2 hingga 4.30 petang.
“Lelaki itu ditahan dalam Honda Accord yang diparkir di kondominium disewanya di Larkin. Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah kedai di Taman Pelangi yang dijadikan tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah.
“Modus operandi lelaki ini, menjadikan rumah kedua sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Suspek yang juga penganggur dipercayai menjual dadah secara individu mengikut kepada permintaan,” katanya pada sidang media di IPD Johor Bahru Selatan, menurut Berita Harian.
Raub berkata, dadah dirampas termasuk serbuk ekstasi 12,665g, ketamin (123g), pil ekstasi (621.8g) dan erimin 5 (3.9g) bernilai RM2,214,440.
Katanya, polis turut merampas dua alat pengisar dadah dan sebuah kereta selain menyita dua kad berwarna kuning keemasan, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM700.
Menurutnya, hasil ujian awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau juga mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah.
“Bagaimanapun kita sedang mengesan seorang individu dipercayai menjadi pembekal dadah kepada suspek.
“Suspek sudah direman selama tujuh hari dan hari ini tempoh reman disambung lagi tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.