Kerajaan hormati keputusan mahkamah berkait komik Hew

Kerajaan hormati keputusan mahkamah berkait komik Hew

Langkah KDN berkait komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ berpandukan keputusan mahkamah.

Fahmi Fadzil
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kerajaan berpandukan keputusan mahkamah berkait komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menghormati mahkamah berkenaan perintah larangan ke atas komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, menurut jurucakap kerajaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Kementerian Dalam Negeri membatalkan perintah itu berdasarkan keputusan mahkamah.

“Jadi kita hormat… mana-mana pihak setuju atau tak itu hak masing-masing tapi kita berpandukan keputusan mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvensyen Ekosistem Pembekal Huawei Malaysia.

Fahmi mengulas perbezaan pandangan antara beberapa pemimpin Umno dan DAP berkenaan pembatalan perintah larangan ke atas komik tulisan Hew Kuan Yau itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh baru-baru ini menggesa kerajaan pertimbang untuk memohon semakan terhadap keputusan mahkamah, manakala Naib Pengerusi DAP Teresa Kok meminta pemimpin Umno menghormatinya.

KDN membatalkan perintah itu pada Selasa lepas. Perintah larangan diwartakan pada 2019 apabila kerajaan mendakwa ia mempunyai kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan, antara lain.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Hew untuk membatalkan larangan ke atas komik itu, pada 2022.

Pada tahun sama, mahkamah memutuskan komik itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, dan kemudian kerajaan dilapor gagal mendapat kebenaran untuk mengembalikan larangan ke atas penerbitan komik berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.