Mahkamah arah serah laporan kehilangan Pastor Koh pada isteri

Mahkamah arah serah laporan kehilangan Pastor Koh pada isteri

Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan menyerahkan laporan pasukan khas kepada Susanna Liew dalam tempoh tiga hari.

Susanna-Liew-Isteri-Pastor-Koh
Susanna Liew mahu mendapatan laporan pasukan khas dengan alasan keluarga Pastor Raymond Koh ada hak untuk mengetahui dapatan siasatan kehilangan lelaki itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan menyerahkan laporan pasukan khas yang diklasifikasikan sebagai sulit mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh kepada isterinya.

Hakim Su Tiang Joo membenarkan permohonan Susanna Liew untuk mendapatkan dokumen tersebut atas alasan laporan itu relevan dalam saman yang sedang berjalan terhadap kerajaan dan polis berkaitan kehilangan Koh.

Beliau memerintahkan kerajaan untuk mengemukakan laporan pasukan khas itu dalam tempoh tiga hari bermula hari ini.

Dalam keputusannya, Su berkata kerajaan gagal memberikan alasan yang kukuh mengapa laporan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia.

“Defendan berhujah bahawa laporan tersebut tidak relevan dengan perbicaraan dan (jika digunakan) tidak mengikat mahkamah.

“Namun, pada pandangan saya, sama ada laporan itu mengikat atau tidak, ia bergantung kepada penilaian mahkamah,” kata hakim.

Dalam permohonannya, Liew berkata keluarganya mempunyai hak untuk mengetahui hasil siasatan pasukan khas mengenai kehilangan Koh.

Liew menamakan ketua polis negara dan beberapa bekas pegawai tinggi polis dalam samannya.

Senarai tersebut termasuk bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas Bukit Aman Awaludin Jadid.

Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas kehilangan paksa itu, serta salah guna kuasa dalam jawatan awam. Beliau juga menuntut ganti rugi atas kehilangan suaminya.

Perbicaraan bersambung 22 Ogos ini.

Peguam Jerald Gomez, yang mewakili keluarga Koh berkata mereka akan memanggil dua atau tiga saksi lagi untuk memberikan keterangan dalam kes itu.

Suhakam mengadakan siasatan awam mengenai kehilangan Koh dan aktivis Amri Che Mat antara 2017 dan 2019.

Ia menyimpulkan bahawa Koh dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya oleh Cawangan Khas polis.

Kementerian Dalam Negeri kemudian menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kesimpulan Suhakam tersebut.

Bagaimanapun, laporan tersebut masih belum didedahkan kepada umum walaupun terdapat desakan berulang kali daripada pelbagai pihak, termasuk Suhakam dan beberapa NGO. Laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan.

Dalam kes Amri, isterinya Norhayati Ariffin diberikan akses kepada laporan tersebut dalam samannya terhadap kerajaan dan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.