Pengarah SRC bukan boneka Najib, mahkamah diberitahu

Pengarah SRC bukan boneka Najib, mahkamah diberitahu

Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd Ismee Ismail setuju Najib Razak tidak mengenali mana-mana ahli lembaga pengarah dan tidak mengupah 'boneka'.

ismee
Ismee Ismail beri keterangan sebagai responden pihak ketiga pada prosiding saman USD1.18 bilion difailkan SRC International terhadap Najib Razak dan Nik Faisal Ariff Kamil yang masih bebas.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd adalah sekumpulan profesional dan bukannya ‘boneka’ yang boleh dibuli sesuka hati oleh Najib Razak.

Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Ismee Ismail, 59, juga bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib iaitu Shafee Abdullah bahawa bekas ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan, Nik Faisal Ariff Kamil adalah seorang akauntan bertauliah dengan latar belakang keluarga yang baik.

Ismee memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga pada prosiding saman USD1.18 bilion difailkan SRC International terhadap Najib dan Nik Faisal, yang masih bebas.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa Najib tidak mengenali mana-mana ahli lembaga pengarah secara peribadi dan tidak mengupah ‘boneka’ untuk berada di situ meskipun bekas perdana menteri mempunyai kuasa mutlak bagi melantik pengarah berdasarkan Perkara 117 Memorandum dan Artikel SRC.

Shafee: Jika Najib mahu lembaga pengarah menjadi boneka dan beliau tuan mereka, beliau tidak mungkin memilih ahli seperti itu yang bijak serta mempunyai kelayakan begitu tinggi. Adakah ini satu kenyataan yang adil?

Ismee: Ya, ia adalah satu kenyataan yang adil.

Shafee: Sudah tentu beliau akan memilih seseorang yang boleh dijadikan ‘pak turut,’ bukannya mereka yang memiliki kelayakan begitu tinggi.

Ismee: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 17 Sept ini dan Najib dijangka memberi keterangan.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntutnya membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.