
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii mendakwa bekas perdana menteri itu seolah-olah terlupa Kelantan dan Nenggiri terkebelakang di bawah pimpinan sekutunya, PAS sejak 34 tahun lalu, namun tidak menegurnya.
“Beliau umpama baru balik dari langit dan tiba-tiba bawa isu dari sana…suasana kehidupan sebenar tidak diambil tahu tapi nak selesaikan isu langit.
“Muhyiddin perlu merasai sendiri kehidupan di Nenggiri, tanpa tanah dan pembelaan kerajaan negeri selama 34 tahun selain berlaku masalah air serta pelbagai lagi,” katanya kepada FMT.
“Muhyiddin dan PAS patut malu kepada diri sendiri kerana tidak dapat mengeluarkan rakyat terutama di Nenggiri dari kemiskinan.”
Razlan mengulas kenyataan presiden Bersatu itu yang berkata Rizwadi Ismail perlu menang pada PRK Nenggiri, esok sebagai isyarat kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa rakyat kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa ramai rakyat ditemuinya mengharapkan PN segera mengambil alih Putrajaya susulan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan di bawah kerajaan perpaduan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Amanah Pusat Mohd Sany Hamzan meminta Muhyiddin tidak menjadi munafik politik dengan mengeluarkan pelbagai dakwaan tidak berasas terhadap keadaan semasa negara.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat mengakui berlaku sedikit kenaikan kos sara hidup tetapi pentadbiran kerajaan perpaduan sentiasa cuba mengawalnya seperti dilakukan terhadap harga ayam.
“Ringgit juga mengukuh dan ekonomi Malaysia dalam keadaan baik, Muhyiddin jangan jadi munafik politik…sepatutnya bagi tahu perkara betul.
“Muhyiddin ini pada saya macam orang meroyan…dulu masa jadi PM pun apa yang dia buat? Rakyat tolong rakyat dan keluarkan duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sendiri,” katanya.
“Masa beliau lagi teruk ramai orang tiada kerja dan barang tiada.”