
Saifuddin berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang pengerusikan Anwar Ibrahim pada minggu lalu.
“Kepimpinan tertinggi PH bersetuju dengan keputusan kerusi DUN Mahkota tidak ditandingi oleh calon PH pada PRK nanti.
“Ini sebagai menghormati kerusi ‘incumbent’ sepertimana dilakukan BN ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sept tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin berkata PH juga akan turun memberi sokongan dan dokongan sepenuhnya kepada calon BN pada PRK itu.
“Kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah keutamaan dalam semangat kerajaan perpaduan pada hari ini,” katanya.
Sebelum ini, Amanah Kluang mendesak kepimpinan PH dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenanginya pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Mahkota pada 28 Sept dengan penamaan calon 14 Sept manakala undi awal pula akan diadakan pada 24 Sept.
DUN Mahkota kosong selepas penyandang Sharifah Azizah Syed Zin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Pada PRN Johor 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Amanah yang mewakili PH, Perikatan Nasional dan Warisan.