PRK Nenggiri: Semua pusat undi ditutup, keputusan dijangka seawal 9 malam

PRK Nenggiri: Semua pusat undi ditutup, keputusan dijangka seawal 9 malam

Sebanyak 14 pusat undi ditutup pada 6 petang, manakala enam lagi ditutup lebih awal pada 2 petang dan 3 petang.

prk nenggiri
Dua helikopter digunakan untuk melancarkan proses penjumlahan undi PRK Nenggiri bagi kawasan penempatan Orang Asli Pos Gob dan Pos Simpor, masing-masing jaraknya 116km dan 100km dari pusat bandar.
GUA MUSANG:
Proses pengundian PRK Nenggiri berakhir selepas kesemua 20 pusat yang dibuka sejak 8 pagi tadi ditutup secara rasmi.

Sebanyak 14 pusat mengundi ditutup pada 6 petang, manakala enam lagi ditutup lebih awal dengan empat daripadanya pada 2 petang dan dua pada 3 petang.

Sejurus selepas pusat mengundi ditutup, kesemua peti undi daripada 46 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Dua helikopter digunakan untuk melancarkan proses penjumlahan undi bagi kawasan penempatan Orang Asli Pos Gob dan Pos Simpor yang masing-masing jaraknya 116km dan 100km dari pusat bandar.

SPR menjangkakan keputusan rasmi akan diumum oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nik Raisnan Daud seawal 9 malam.

Proses pengundian hari ini membabitkan 20,216 pengundi biasa daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar, manakala 43 kertas undi pos dikeluarkan untuk individu yang bertugas sepanjang PRK itu, termasuk anggota polis.

Setakat 4 petang, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi pada tahap 71.87%

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima 18 laporan dan membuka enam kertas siasatan berkaitan PRK itu sejak semalam.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan proses pengundian hari ini sebagai terkawal dan berlangsung dalam keadaan harmoni.

PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili kerajaan perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail bagi Perikatan Nasional (PN).

Pilihan raya itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum oleh Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.