Bersatu teliti halus isu ucapan Muhyiddin semasa kempen di Nenggiri

Bersatu teliti halus isu ucapan Muhyiddin semasa kempen di Nenggiri

Bersatu juga beri kepercayaan kepada Muhyiddin Yassin bahawa beliau akan hadir beri keterangan kepada pihak berkuasa esok.

bersatu
Setiausaha agung Bersatu seru semua pihak bertenang agar perkara berkait ucapan Muhyiddin ketika PRK Nenggiri dapat diselesaikan dengan baik.
PETALING JAYA:
Bersatu sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Presidennya Muhyiddin Yassin semasa kempen PRK Nenggiri.

Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata Bersatu beri kepercayaan sepenuhnya kepada Muhyiddin bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa esok.

“Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang murka berkata kenyataan Muhyiddin itu secara sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Abdullah, memanipulasi fakta serta membawa naratif negatif seolah-olah baginda tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

Semalam, Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, bagaimanapun menegaskan ucapan beliau ketika PRK Nenggiri berkait pelantikan perdana menteri adalah kenyataan fakta.

Hari ini, PN Pahang berkata ia menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Muhyiddin itu, agar siasatan yang adil dijalankan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilapor berkata proses rakaman percakapan Muhyiddin yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguh kepada esok, kerana presiden Bersatu itu masih berada di Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.