Warga emas rugi RM178,700 angkara ‘phone scam’

Warga emas rugi RM178,700 angkara ‘phone scam’

Kejadian berlaku selepas wanita berusia 60 itu menerima panggilan lelaki yang mengaku daripada Bahagian Pencegahan Pengubalan Wang Haram dan IPD Johor Bahru.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek, kata Ketua Polis Nilai Abdul Malik Hasim.
SEREMBAN:
Seorang warga emas kerugian RM178,700 selepas terpedaya dengan panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku daripada Bahagian Pencegahan Pengubalan Wang Haram (AMLA) Kuala Lumpur dan IPD Johor Bahru, di Nilai semalam.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 60 tahun itu pada 11.57 malam, Rabu lepas.

Beliau berkata kejadian berlaku pada 25 Julai apabila mangsa dihubungi oleh suspek yang mengaku dari cawangan AMLA, memaklumkan bahawa akaun bank warga emas itu terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya telah diarahkan untuk membuat pindahan ke dalam lima akaun yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM178,700.

“Pengadu menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata orang awam dinasihatkan agar membuat semakan melalui portal Semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) sebelum membuat sebarang pemindahan wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.