
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata RAC menerima empat cadangan daripada pemaju besar berhubung konsep pembangunan yang akan dilaksanakan.
“Kita ada rancangan besar dan sedang menilai cadangan yang akan memberi pulangan terbaik kepada RAC dan pada masa sama, kita hendak bawa ia kepada pemangkin bagi pembangunan sosial dan kemajuan ekonomi di Seremban.
“Kita harap ada pembangunan bersepadu di kawasan ini, ada konsep, bukan hanya pusat beli-belah dan kediaman, tetapi apa sahaja pembangunan menarik. Kita ada pelbagai cadangan termasuk pusat kesihatan, hospital dan kolej swasta,” katanya.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Wajah Baharu Terowong Pejalan Kaki Jalan Sungai Ujong.
Bagi rancangan jangka pendek, beliau berkata kawasan itu akan dibuka sebagai tapak perniagaan makanan pada waktu malam untuk menarik pengunjung ke lokasi yang berhampiran terowong bawah tanah yang dinaik taraf dengan daya tarikan tersendiri menghubungkan Stesen Bas Terminal 1 dengan Stesen KTMB.
“Kita tahu pembangunan tertumpu di Seremban 2, jadi Seremban lama hendak kekalkan identiti bandar raya Seremban tetapi perlu suntikan pembangunan dan sesuatu anjakan aktiviti ekonomi di sini,” katanya.