Fuziah Salleh dilantik terajui PH Pahang

Fuziah Salleh dilantik terajui PH Pahang

Ketua PKR negeri itu menggantikan Amirudin Shari.

Fuziah Salleh berkata, PH Pahang perlu diberi peranan dan pengiktirafan sewajarnya selari perjanjian persefahaman penubuhan kerajaan perpaduan negeri. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh dilantik pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, menggantikan Amirudin Saari berkuat kuasa 26 Ogos.

Fuziah yang juga ketua PKR Pahang, berkata lantikan itu diputuskan pada Mesyuarat PH negeri, Isnin lalu dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada menteri besar Selangor itu atas komitmen dan usaha membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

“Mesyuarat juga bersepakat untuk mendukung persefahaman bersama yang telah ditandatangani dan akan terus memperkukuh kerajaan perpaduan Pahang selaras dengan dasar perpaduan dan muafakat dalam perkongsian kuasa bersama.

”Sesungguhnya, pembentukan kerajaan Pahang hari ini ialah hasil sumbangan kerusi yang dimenangi PH dalam PRU15 lepas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mesyuarat juga berpandangan PH perlu diberikan peranan dan pengiktirafan sewajarnya selari dengan perjanjian persefahaman penubuhan kerajaan perpaduan Pahang.

Fuziah berkata, mesyuarat turut mencapai kata putus supaya lebih ramai pendukung PH dilibatkan ke dalam struktur akar umbi kerajaan perpaduan Pahang untuk membentuk keutuhan kerjasama terutama sebagai persiapan menghadapi PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.