Warga emas rugi lebih RM1.37 juta ditipu ‘pegawai bank’

Warga emas rugi lebih RM1.37 juta ditipu ‘pegawai bank’

Mangsa terpedaya selepas menerima satu panggilan menawarkan skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh institusi perbankan tertentu.

scammer
Mangsa ditawarkan pelaburan simpanan tetap dengan kadar dividen 4.8% setahun sebelum ‘pegawai bank’ itu mengarahkannya memindahkan kesemua wangnya ke dua akaun, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Seorang suri rumah warga emas rugi lebih RM1.37 juta akibat terpedaya dengan panggilan penipuan yang menawarkan skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh institusi perbankan tertentu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima laporan daripada suri rumah berusia 85 tahun itu semalam mendakwa telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai dari sebuah bank tempatan.

Beliau berkata ‘pegawai’ terbabit didakwa menawarkan pelaburan simpanan tetap dengan kadar dividen 4.8% setahun dan mengarahkan warga emas itu untuk memindahkan kesemua wangnya ke dua akaun miliknya dengan nilai keseluruhan RM1,372,886.45.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk mengaktifkan perbankan Internet bagi kedua-dua akaun bank itu dan memberikan akses kepada pihak sindiket kononnya bagi tujuan pengurusan wang pelaburan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila mendapati kesemua wang hilang daripada akaunnya. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata pihaknya turut menerima maklumat wujudnya tawaran perkhidmatan untuk memperoleh kembali wang yang ditipu.

“Ejen yang menawarkan perkhidmatan ini dikatakan berupaya untuk memproses urusan pengembalian wang yang telah dipindahkan ke akaun orang lain. Adalah ditegaskan, terdapat proses undang-undang yang perlu dipatuhi dalam urusan sebegini.

“Siasatan sewajarnya oleh agensi berkaitan termasuklah polis dan pihak bank perlu dilengkapkan sebelum pengembalian wang yang telah dipindahkan ke akaun orang lain diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Beliau berkata sebarang tawaran perkhidmatan sebegini yang datangnya daripada individu persendirian ialah satu penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.