PRK Mahkota: Pemilihan calon BN di peringkat akhir, kata Khaled

PRK Mahkota: Pemilihan calon BN di peringkat akhir, kata Khaled

Mohamed Khaled Nordin berkata pengumuman calon BN akan dibuat pada pelancaran jentera BN dalam masa terdekat.

Barisan Nasional (BN) akan turun sebagai penyandang pada PRK Mahkota, 28 Sept depan. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Mahkota kini di peringkat akhir, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.
Khaled Nordin.

Beliau yang juga koordinator BN untuk PRK DUN Mahkota berkata banyak nama calon telah dipertimbangkan dan calon yang dipilih akan diumumkan selepas negara menyambut hari kemerdekaan.

“Ia (pengumuman calon) akan dilakukan ketika BN melancarkan jentera pilihan raya dalam sedikit masa lagi. Kita habiskan (sambutan) kemerdekaan dahulu,” katanya selepas melancarkan Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kem Mahkota di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian PRK DUN Mahkota, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 14 September.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang pada 2 Ogos lepas.

Program e-Perkasa SPM Yayasan LTAT dan UPSI merupakan inisiatif tajaan Yayasan LTAT untuk memperkasa pendidikan anak-anak warga ATM yang bersekolah di luar kem tentera sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.