Rasuah babit sindiket bawa masuk warga asing, 3 penguat kuasa ditahan

Rasuah babit sindiket bawa masuk warga asing, 3 penguat kuasa ditahan

Sumber memaklumkan tiga pegawai yang berkhidmat di KLIA antara lima ditahan menerusi Ops Setting.

sprm
Seorang proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek utama ditahan SPRM, dalam siasatan berkait sindiket bawa masuk warga asing. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai agensi penguat kuasa kerana dipercayai terbabit rasuah, membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan sepatutnya.

Sumber memaklumkan tiga pegawai yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu antara lima ditahan menerusi Ops Setting.

Perintah reman satu hingga lima hari terhadap empat suspek dikeluarkan selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

Semalam, Azam memaklumkan SPRM mengesan lebih kurang 46 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing menerusi ‘counter setting’ di KLIA.

Pegawai-pegawai itu disyaki terlibat dengan sindiket yang membawa masuk pekerja asing melalui kaunter-kaunter tertentu, bagi memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang mematuhi prosedur imigresen.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan 14 suspek ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang semalam untuk membantu siasatan.

Turut ditahan reman seorang proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek utama. Seorang isteri kepada suspek utama yang masih belum dikesan dan turut berperanan bersubahat.

Serbuan menyita lebih kurang RM200,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM50,000, serta beberapa kenderaan yang dibeli secara tunai.

Sembilan dilepaskan setelah memberikan keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.