
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, media mempunyai hak melaporkan berita dan melindungi kerahsiaan identiti sumber yang tidak dinamakan tetapi pada masa sama perlu mengangkat aspek etika kewartawanan.
“Ini termasuk dalam memilih tajuk berita. Kadangkala kita membaca laporan berita yang tajuknya tidak seiring dengan isi kandungan,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
Bloomberg dalam satu laporan memetik sumber mendakwa Anwar mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Dr Mahathir Mohamad, anak-anaknya, dan rakan rapatnya Daim Zainuddin.
Anwar juga didakwa mengarahkan SPRM tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Susulan laporan Bloomberg itu, beberapa pihak mendesak Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita tersebut.
Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan belum membuat keputusan berkaitan cadangan menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya.
Katanya, ia masih di peringkat penelitian kerana ada beberapa perkara dalam isu subsidi yang menjadi prinsip secara umumnya.
“Misalnya dalam isu subsidi elektrik, kita memberi penekanan bahawa 85% pengguna tidak akan terkesan maka prinsip itu akan diambil kira.
“Cuma dalam aspek pendidikan tidak seperti kes bil elektrik yang berpandukan penggunaan, jadi perlu meneliti perkara lain,” katanya.
Bulan lalu perdana menteri menggesa subsidi kepada anak-anak daripada keluarga golongan paling kaya di sekolah terbaik dibiayai kerajaan dihentikan, bagi memastikan bantuan diagihkan kepada kumpulan memerlukan.