2 ‘Datuk’ disiasat kes tuntutan palsu projek perumahan tak wujud

2 ‘Datuk’ disiasat kes tuntutan palsu projek perumahan tak wujud

Siasatan awal SPRM mendapati suspek terbabit membuat tuntutan palsu itu dari 2021 hingga 2023.

Dua suspek membuat tuntutan palsu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapat perintah reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Dua individu bergelar ‘Datuk’ ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai membuat tuntutan palsu membabitkan 19 projek perumahan

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan kedua-dua suspek direman empat hari sehingga 13 Okt selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang masing-masing bekerja sebagai pengarah dan kontraktor di Selangor ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar jam 7 malam, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek telah membuat tuntutan palsu itu sekitar 2021 hingga 2023.

“Suspek pertama yang berkhidmat di syarikat pemaju telah bersekongkol dengan suspek kedua yang bertindak menyediakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan membabitkan pembinaan rumah kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“LPPSA kemudian telah membuat pembayaran kepada suspek pertama sedangkan pembinaan rumah berkenaan sebenarnya tidak pernah dilakukan,” katanya.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan tangkapan dan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.