
SKMM berkata proses ketat itu bertujuan memastikan penyedia rangkaian memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, kebolehpercayaan dan aksesibiliti perkhidmatan.
Menurutnya, pemilihan U Mobile dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan, serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
“Ini termasuk sumbangan memberangsangkan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen SKMM untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.
1 Nov lalu, SKMM mengumumkan U Mobile yang dipengerusikan taikun Vincent Tan, dipilih melaksanakan rangkaian 5G kedua negara, mengambil kira ‘perbincangan mendalam merangkumi aspek teknikal dan komersial’.
Pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk daripada pemain industri antaranya pengendali mudah alih, Maxis, yang mahu berhubung dengan SKMM berhubung rasional pemilihan itu.
Maxis, pengendali mudah alih kedua terbesar negara yang dikawal oleh bilionair T Ananda Krishnan, dilaporkan berada dalam kedudukan utama untuk mengetuai pelancaran rangkaian 5G kedua negara itu.
Mengenai pegangan saham asing semasa yang dimiliki U Mobile, SKMM berkata menjadi tanggungjawab pemegang lesen untuk memaklumkan kepada suruhanjaya berkenaan sekiranya terdapat sebarang perubahan pegangan saham asing syarikat.
Suruhanjaya itu berkata dengan penubuhan rangkaian 5G kedua tersebut, SKMM membuka jalan bagi fleksibiliti dan keterangkuman perkhidmatan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
“Perkembangan ini menggalakkan persaingan dan mengukuhkan ketahanan industri serta membolehkan rakyat menikmati sambungan berkelajuan tinggi pada harga berpatutan,” katanya.