
Menteri kewangan berkata, peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
Selain itu, katanya, kerajaan persekutuan juga bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam Terengganu membabitkan peruntukan berjumlah RM7.4 juta.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa.
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud 10.25 pagi tadi bagi meninjau sendiri situasi banjir di negeri itu.
Sebelum ini, Putrajaya memperuntukkan kira-kira RM50 juta bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerusi peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan peruntukan tambahan hari ini bagi membaiki infrastruktur serta kerja pasca banjir dijangka melibatkan kos tinggi.
“Untuk negeri lain kita sedang pantau, tidak mahu jadi salah faham…akan ikut keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan (negeri terkesan banjir) mengalami (kerugian) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” kata Anwar.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiada keperluan mengisytiharkan darurat walaupun situasi banjir, khasnya di Kelantan dan Terengganu semakin serius.
Ini kerana, katanya, seluruh jentera pasukan keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia, polis, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seluruh jentera persekutuan, negeri dan daerah mampu menangani bencana ini dengan baik.
“Jadi, tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat.”
Sejuru melawat mangsa banjir di SK Telaga Papan, Anwar meluangkan kira-kira 20 minit melawat mangsa banjir di PPS SK Mangkuk yang menempatkan 372 mangsa.
Setakat tengah hari ini, Terengganu merekodkan 42,040 mangsa banjir daripada 11,352 keluarga. Besut paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 15,756 orang.