Video solat dalam banjir: Islam ajar jangan mudaratkan diri

Video solat dalam banjir: Islam ajar jangan mudaratkan diri

Ada kaedah yang lebih selamat, tegas Menteri Hal Ehwal Agama Na'im Mokhtar, mengulas video tular ketika beberapa negeri dilanda banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Na’im Mokhtar kata Islam mengajar umat agar tidak melakukan sesuatu sehingga memudaratkan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri, seperti video menunaikan solat dalam banjir.

Menteri hal ehwal agama itu menjelaskan Islam mengajarkan umat agar tidak melakukan sesuatu sehingga memudaratkan diri.

“Kalau datang bah besar dia boleh hanyut. Ada kaedah yang lebih selamat dan kita juga kena berhati-hati,” katanya lapor Bernama, mengulas video yang tular di media sosial.

Na’im menambah perbuatan dalam video itu berkemungkinan menimbulkan salah faham dalam masyarakat.

Bencana banjir di seluruh negara ketika ini dikatakan lebih teruk berbanding 2014, dan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 152,377 orang pagi tadi, berbanding 146,611 semalam.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berharap penduduk di negeri terkesan mengikut arahan pihak berkuasa, yang telah menggerakkan lebih 82,000 anggota keselamatan bagi membantu mangsa.

“Kesiapsiagaan dan amaran awal mesti diikuti sepenuhnya agar dapat mengelakkan kehilangan nyawa,” katanya lapor Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.