130 kanak-kanak dari rumah amal dikaitkan GISBH belum dituntut

130 kanak-kanak dari rumah amal dikaitkan GISBH belum dituntut

Menteri Nancy Shukri kata JKM telah hubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan namun tiada maklum balas diterima.

Nancy Shukri
Menteri Nancy Shukri kata 130 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan GISBH belum dituntut, mungkin kerana ibu bapa berkenaan bimbang akan ditahan.
TUMPAT:
Seramai 130 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih belum dituntut ibu bapa mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Beliau berkata ini mungkin kerana ibu bapa kanak-kanak berkenaan bimbang akan ditahan sekiranya datang untuk mengambil anak-anak mereka.

“Mereka risau datang untuk menuntut anak kerana urusan itu melibatkan polis, tetapi sebenarnya yang ditahan itu ada kesalahan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2.

Nancy berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan namun tiada maklum balas diterima.

“JKM perlu memulangkan kanak-kanak ini kepada ibu bapa mereka kerana ada tempoh tertentu yang ditetapkan mahkamah,” katanya menambah terdapat prosedur khas bagi menyerahkan kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata JKM perlu mendapatkan perintah mahkamah bagi orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak itu.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lepas, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.